Bidang Kemanusiaan SiS

Bidang Kemanusiaan SiS

Wednesday, August 17, 2011

Dari Meja Ketua Bidang Sains Sosial SARJANA

Assalamualaikum w.b.t

Suatu perancangan yang meraih kejayaan datang dari usaha yang kolektif dari pelbagai pihak dan mempunyai  hala tuju yang jelas. Bolehlah diumpamakan sebuah kapal yang belayar  perlu dilengkapi dengan bekalan yang mencukupi, anak kapal yang cekap dan berpengalaman serta nakhoda yang berkemahiran untuk memimpin dan mampu mengharungi segala kemungkinan yang mendatang. 

       Harapan yang tinggi menggunung dari pihak sekolah dan ibubapa perlu dijunjung dan direalisasikan untuk melihat kejayaan anak-anak mereka yang berada dalam tangan kita. Justeru itu sikap suka bertangguh, jumud dan menunggu di arah bukan lagi dijadikan suatu budaya dalam etika bekerja. Persaingan yang sihat amat baik untuk meningkatkan mutu kerja kita. Namun jangan dihinggapi rasa dendam dan prasangka yang akhirnya merosakkan organisasi kita dan natijahnya merugikan anak didik kita.

       Setiap cadangan amat diperlukan untuk memantapkan lagi organinasi kecil ini. Diharapkan kritikan pula perlu disusuli dengan alasan yang munasabah dan cadangan penyelesaiannya. Sikap boleh ditegur dan berfikiran terbuka amat dituntut agar prestasi dan kualiti kerja kita akan terus meningkat. Bekerjalah sebagai satu jamaah dan janganlah kita berpecah belah.

       Harapan saya, tegurlah dan berilah kritikan yang membina buat saya jika tersalah langkah. Bagi perancangan yang kita persetujui bersama marilah kita  bersama-sama laksanakannya hingga berjaya. Perkasakan kembali bidang Sains Sosial ini agar ia tidak dipandang sepi dan merintih dalam diam.

      Ukuran kejayaan kita ialah kejayaan anak-anak didik kita dan keseronokkan kita ketika bekerja. Ikhlaskan hati dalam pekerjaan, Barulah kerja menjadi ibadah. semoga apa yang dirancangkan diberkati Allah S.W.T dan beroleh kejayan.

Sekian, selamat maju jaya.



                                            WARGA TERDIDIK, SARJANA TERBILANG